2012-03-27

Kenapa takut dengan Islam? - Prof. Dr Abdul Wadud as-Shatibi

Alhamdulillah malam ini berpeluang mendengar kuliah yang disampaikan oleh YB Dato' Taib Azamuddin Mohd Taib. InsyaAllah saya akan kongsikan beberapa isi penting bersama rakan-rakan diruang maya ini.

     Didalam al-Quran ada menyebut tiga golongan manusia yang hidup diatas muka bumi ini. Iaitu golongan beriman, golongan munafiq dan golongan kafir. Ini amat bertepatan dengan penurunan wahyu al-Quran iaitu terdapat tiga surah yang berkaitan dengan ketiga-tiga golongan ini iaitu surah al-Mukminun, surah al-Munafiqun dan surah al-Kafirun.

     Hari ini kita melihat umat sendiri yang cuba memberi gambaran yang buruk terhadap Islam sebagai contoh Salman Rushdie yang menghina nabi Muhammad dan Isteri Rasulullah melalui karangannya dalam buku "Ayat-ayat Syaitan". Ulamak telah menghukumkan Salman Rushdie sebagai seorang yang murtad, malah Imam Khomeini mengeluarkan fatwa halal darah Salman Rushdie. Gambaran Islam yang sebenar dan indah yang seharusnya dikempen oleh umat Islam kepada umat manusia telah hilang daripada jiwa umat Islam dan hilangnya ketokohan pusat-pusat pengajian terkenal di tanah air Malaysia. Dimanakah kehebatan Kolej Islam Malaya/ Klang (sekarang KISAS), dimanakah kehebatan Maktab Mahmud di Kedah, Maahad Muhammadi di Kelantan dan lain-lain tempat? semuanya semakin terhakis kualitinya. Perkara ini yang perlu disedari oleh umat Islam dan perlu dikembali semula kehebatan pusat pengajian ini.

     Seharusnya, kita perlu kempen berkenaan keadilan negara Islam kepada orang kafir dengan sebaik mungkin. Wujudnya negara Islam pasti akan menjaga hak-hak umat Islam dan bukan Islam. Hak-hak orang bukan Islam sebagaimana yang digariskan oleh Prof. Dr Abdul Wadud as-Shatibi didalam bukunya "Limaza yakhafun al-Islam?" atau "kenapa takut dengan Islam?". Beliau menyatakan terdapat 6 hak orang bukan Islam yang bertaraf zimmi (tidak memusuhi Islam) didalam negara Islam:
  1. Hak perlindungan - Wajib bagi kerajaan untuk memberi perlindungan dan keselamatan kepada mereka dan keluarga. 
  2. Nyawa mereka terpelihara - sebagai contoh sekiranya seseorang Islam membunuh orang bukan Islam atas perkara yang bukan haq, maka hukuman qisas (bunuh balas bunuh) akan dikenakan keatas orang tersebut.
  3. Perlindungan harta - sekiranya seseorang Islam mencuri harta orang bukan Islam, sekiranya dithabitkan kesalahan keatas orang Islam tersebut, maka hukuman potong tangan dikenakan keatasnya (hukuman hudud). Sekiranya orang Islam berhutang dengan orang yang bukan Islam, maka wajib membayarnya sekiranya tidak membayar walaupun ia mampu, maka hakim wajib menjatuhkan hukuman ke atas orang Islam tersebut.
  4. Mendapat perlindungan kepentingan - tidak boleh mencela dan mencaci serta berdusta kepada orang bukan Islam
  5. Berhak mendapat bantuan - bagi golongan yang tidak berdaya, tua dan hidup susah apabila jelas kesusahannya. Bantuan dibahagiakan secara adil mengikut kadar bahagian masing-masing.
  6. Merdeka mengamalkan agama masing-masing - samaada dari segi kepercayaan/pegangan atau cara mereka beribadah (upacara). Mereka tidak dipaksa untuk memeluk agama Islam.
 Demikianlah, gambaran negara Islam apabila Islam didaulatkan di sesebuah negara. Kerana Islam itu membawa rahmat ke seluruh alam. Semua makhluk sama ada manusia, haiwan dan tumbuhan pasti akan merasai rahmat yang dilimpahkan oleh Allah s.w.t.

SubhanAllahi Wa bi Hamdih..





2012-03-24

Kenapa anak muda Islam jauh dari masjid?



Pernah Aku terfikir, kenapa masjid dan surau-surau pada hari ini tidak mampu untuk menarik anak-anak muda untuk mengimarahkannya. Kenapa kebanyakkan masjid dan surau lebih banyak 'dikuasai' oleh golongan yang telah berumur? malah yang menjawat jawatan sebagai ajk masjid dan surau juga dari golongan yang sudah berumur. Kebanyakkan masjid atau surau tiada wakil daripada kalangan remaja dalam stuktur organisasi masjid atau surau tersebut, dimanakah anak-anak muda kita yang bakal mewarisi panji-panji Islam?.

Mat Rempit, mat ganjal, kaki judi, kaki botol dan betina, mat rock.. begitu sinonim dengan anak-anak muda sekarang. Jarang sekali kita mendengar seseorang berkata: ".. mamat ni kaki masjid, kaki solat, mat ceramah dll..". Semakin hari kita melihat generasi muda semakin jauh daripada masjid dan surau.

Daripada pagi sampai malam, sarat dengan program untuk golongan vateran dengan pengisian ala 80an . Pengisian kuliah, tahsin al-Quran, tahlil dan bacaan surah Yassin setiap khamis malam jumaat menjadi acara wajib setiap minggu. Program tersebut memang elok dijalankan, tetapi ia hanya mampu untuk menarik minat golongan yang terikat hati mereka dengan masjid atau surau. Bagaimana pula dengan program bagi mengisi waktu anak-anak dengan aktiviti berfaedah dan menarik anak-anak muda yang semakin jauh daripada agama. Ya, memang tidak dinafikan banyak faktor luar yang menjauhkan mereka daripada rumah Allah ini, tetapi adakah masjid dan surau pada hari ini telah berperanan dengan sebaik mungkin sebagai pusat dakwah dan tarbiah?

Memahami perubahan kehendak anak-anak muda yang suka pada aktiviti luar, mencabar dan lasak menjadi satu keperluan bagi seorang daie.Tetapi sayangnya, ungkapan: ".. tidak boleh, program kita hanya fokus dalam masjid sahaja, luar dari masjid tanggungjawab orang lain..". Ungkapan ini sering kita dengar daripada kebanyakkan masyarakat yang tidak memahami tuntutan menyebarkan syiar Islam yang bersifat komprehensif, bukan secara eklusif untuk golongan tertentu sahaja. Bukankah kita selaku daie yang seharusnya mendekati sasaran dakwah (mad’u) dengan pelbagai metod yang kreatif dan sesuai dengan jiwa mereka selagi mana tidak melewati batas syarak. Ya, sudah pasti peranan ini lebih utama dimainkan oleh insitusi masjid atau surau yang lebih hampir dengan masyarakat dan juga menjadi center bagi sesebuah tempat yang majoriti masyakatnya beragama Islam.

Pernah Aku terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan oleh beberapa masjid di sekitar Bandar Baru Bangi sebagai ajk atau fasilitator program yang dianjurkan oleh pihak masjid. Masjid-masjid ini hidup dengan aktiviti yang melibatkan golongan remaja sekolah dan masyarakat luar. Antaranya ialah masjid al-Hasanah. Aktiviti yang dijalankan mampu meraikan semua lapisan golongan masyarakat terutama golongan remaja seperti kem motivasi, forum, footsal, tayangan perdana, smart solat dan aktiviti-aktiviti lain daripada kuliah-kuliah agama pada malam harinya. Malah disana juga ditubuhkan Kelab Remaja Masjid yang mengumpulkan golongan remaja dengan aktiviti berfaedah terutama pada musim cuti sekolah. Syabas! diucapkan kepada Ajk masjid yang begitu memahami kehendak dan kesesuaian aktiviti dengan masyarakat setempat.

Terdapat juga masjid yang begitu banyak sumbangan dan peruntukkan orang ramai dari sudut material dan wang ringgit, tetapi banyak pula dihabiskan untuk pembinaan infrastruktur dan penambahbaikan masjid semata-mata, sedangkan masjid lengang daripada jemaah yang mengimarahkannya ( lihat sahaja keadaan ruang masjid setiap kali masuk watu solat fardhu.. sungguh menyedihkan). Bukankah ini juga merupakan satu pembaziran dan ditegah oleh agama?. Bukankah masjid Nabawi hidup dengan majlis ilmu antara nabi dan para sahabat meskipun atapnya hanya dari pelepah-pelepah tamar dan hanya disemen dengan tanah liat?. Jelaslah bahawa peranan masjid pada zaman Rasulullah s.a.w lebih menekankan kepada pembangunan insan selain menjadi tempat beribadat. Wang yang disumbangkan oleh orang ramai sudah pasti merupakan amanah yang perlu diuruskan dengan sebaik mungkin dan pastinya ia akan dihintung oleh Allah s.w.t di akhirat kelak.

Aktiviti melatih generasi muda seperti menjadi imam dan bilal amat jarang kita perhatikan, akibatnya kita melihat ada pak cik tua yang terpaksa dipapah untuk membaca khutbah sewaktu solat Jumaat, malah hendak membelek teks khutbah pun terketar-ketar jarinya. Demikian pula bilal yang melaungkan azan seolah-olah bunyi seseorang tengah nazak saat dicabut rohnya oleh malaikat maut ( Penulis: maaf sekiranya kata-kata ini agak kasar), sedangkan ramai anak-anak muda yang lunak suara dan bersih jiwanya yang mampu menyentap hati masyarakat untuk hadir ke Masjid. Mereka perlu diberi peluang untuk menunjukkan bakat yang dikurniakan Allah s.w.t sebagai seorang imam, bilal dan menyampaikan tazkirah meskipun bukan pada setiap waktu, sekurang-kurangnya aktiviti tersebut dijalankan.

          Demikian pandangan penulis berkenaan peranan masjid atau surau yang perlu dimainkan sebaik mungkin agar syiar Islam terus berkembang dan difahami oleh masyarakat. Peranan institusi masjid dan surau perlu lebih meluas, bukan sekadar tertumpu dengan aktiviti dalam ruang masjid semata-mata dan untuk golongan tertentu sahaja malah perlu diisi dengan aktiviti-aktiviti luar khususnya untuk golongan remaja yang inginkan aktiviti yang lebih bebas dan mencabar. Pendekatan yang sesuai digunakan mampu menarik golongan remaja untuk mengimarahkan masjid serta memahami ajaran Islam. Mereka juga berasa seronok dengan aktiviti yang dijalankan oleh institusi masjid yang mencergaskan jiwa, minda, fizikal serta rohani.


2012-03-17

Aku dan pena..

Terasa agak lama juga pena ini tidak berpentas diruang maya. Cukuplah dengan kata-kata Ja'afar ash-Shadiq memberiku inspiratif untuk terus melanjutkan siri-siri penulisan meskipun penulisanku tidak sehebat penulis-penulis bloger terkenal. Mudah-mudahan Allah s.w.t mempermudahkan urusan hamba ini dan meluruskan niatku untuk terus menulis demi mengharapkan keredaan-Nya. Kepada-Mu Aku berlindung daripada fitnah kesalahan tinta-tintaku dan mengharapkan keampunan daripadaMu..

Rabbi firli zunubi.. Rabbi yassir wa la tua'ssir


"Tulis dan sebarkanlah ilmumu di antara saudaramu
Jika kamu mati, anak-anakmu akan mewarisi kitab-kitabmu
Kelak akan datang suatu masa banyak kekacauan
dan orang-orang tidak lagi mempunyai sahabat
yang akan menolong dan melindungi 
selain buku-buku"

(Ja'far ash-Shadiq)


2011-08-22

Agar Kedatanganmu disambut seindah dan sesuci hari lembaran.. Aidilfitri


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam sejahtera..

     Selamat datang dan  tahniah!! diucapkan kepada mahasiswa mahasiswi baru yang telah terpilih untuk  memasuki  Universiti Kebangsaan Malaysia bagi sesi 2011/2012. Berbanggalah.. kerana adik-adik merupakan antara insan yang terpilih untuk menjejaki kaki ke menara gading setelah berpenat lelah didalam pengajian samaada di sekolah, matrikulasi atau mana-mana pusat pengajian. Juga tidak lupa ucapan selamat kembali semula ke kampus kepada semua warga kampus (tahun dua hingga tahun empat) setelah lebih kurang empat bulan kita bercuti setelah tamat  sesi pengajian bagi semesta 2010/2011. Mudah-mudahan cuti panjang yang dilalui memberi semangat dan nafas baru untuk kita sama-sama menempuhi perjuangan didalam menuntut ilmu di universiti yang kita cintai ini.

Rakan-rakan seperjuangan sekalian..

    Sesungguhnya alam pengajian yang kita tempuhi samaada diperingkat sekolah, matrikulasi dan seumpamanya adalah berbeza dengan alam pengajian di Universiti. Pengajian di universiti sudah tentu lebih mencabar berbanding zaman persekolahan. Perlunya persediaan diperingkat adik-adik dan rakan-rakan khususnya kepada mahasiswa mahasiswi baru yang akan mendaftarkan diri untuk melakukan persediaan yang rapi dan secukupnya agar  tidak mengalami kesulitan pada kemudian hari terutama sewaktu menempuhi hidup di alam kampus. Antara persediaan-persediaan yang perlu dilakukan adalah:

  1. Mental: Akal fikiran yang sihat dan cerdas amat diperlukan oleh mahasiswa dan mahasiswi agar mereka dapat menumpukan perhatian mereka didalam menuntut ilmu. Rakan-rakan juga perlu cepat dan cekap didalam membuat sesuatu keputusan serta mengambil tindakan didalam setiap perkara kerana beban dan tanggungjawab rakan-rakan di Universiti pasti bertambah apabila bergelar sebagai mahasiswa atau mahasiswi.   
  2. Fizikal: Akal yang cerdas datangnya daripada tubuh badan yang sihat dan cergas. Kesihatan tubuh badan rakan-rakan perlu dijaga seperti menjaga makan dan minum, bersukan dan bersenam pada setiap hari. Biasakan diri dengan aktiviti lasak dan mencabar supaya kita menjadi lebih berani, bersemangat, tahan lasak serta tidak mudah putus asa untuk mencapai sesuatu matlamat.
  3. Rohani: Perlengkapkan diri  rakan-rakan dengan pengisian rohani kerana ia merupakan sumber kekuatan dalaman yang boleh mendorong kita untuk terus bersemangat, istiqamah dalam melakukan kerja kebajikan, teguh dengan nilai-nilai dan prinsip agama, berkelakuan dan beraklak mulia pada setiap masa. Kekuatan dalaman ini merupakan hasil pengabdian diri seorang hamba kepada Khalid (pencipta). Walau bagaimanapun diingatkan supaya rakan-rakan sentiasa mencari peluang untuk menghadiri kuliah-kuliah agama dan bersahabat dengan rakan-rakan yang baik agar kita tidak mudah hanyut dan leka dengan dengan kesibukan dunia yang berpanjangan.
  4. Emosi: Mahasiswa yang cemerlang perlu stabil emosi mereka. Mereka tidak mudah terpedaya dengan keinginan nafsu diri mereka sendiri dan pengaruh  luar yang menganggu hidup mereka. Perlunya kita menilai sesuatu perkara berlandaskan ilmu pengetahuan dan akal yang waras agar segala keputusan dan tindakan tidak dipengaruhi oleh perasaan yang tidak terkawal.

Disini juga saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan strategi belajar di Universiti yang terdapat sedikit perbezaan cara kita belajar disekolah. Strategi ini penting agar kita tidak tersilap memilih langkah sehinggakan gagal mencapai kecemerlangan didalam akademik dan tidak menguasai kemahiran yang penting yang diperlukan oleh seseorang mahasiswa. Antara strateginya adalah:
  • Rakan-rakan perlu merancang dan mengatur masa antara tugasan akademik, tugasan persatuan, tugasan peribadi dan sebagainya. Lakukan tugasan-tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan mengikut keutamaan.
  • Tepati waktu kuliah dan kelas tutorial, jangan cuba ponteng kelas sekiranya rakan-rakan tidak ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian. Fokus! Fokus! dan fokus sewaktu belajar didalam kuliah . 
  • Catat dan susun nota yang perlu dengan kemas dan teratur kerana nota-nota tersebut amat penting sewaktu melakukan ulangkaji terutama sewaktu minggu peperiksaaan. Kebanyakan soalan peperiksaan merujuk kepada nota yang dicatat dan penyampaian pensyarah, bukan berdasarkan buku rujukan yang dibeli semata-mata. 
  • Siapkan segera tugasan bertulis yang diberikan oleh pensyarah kerana kita tidak tahu tugasan dan tanggungjawab yang akan datang.. mungkin akan bertambah. Kesimpulannya.. Usah bertangguh! 
  • Elakkan diri daripada belajar atau mengulangkaji ditempat yang terdapat banyak gangguan yang tidak sepatutnya seperti bunyi bising, berbau busuk dan sebagainya. 
  • Perlu melatih diri untuk cepat membaca dan mencatat isi-isi penting sewaktu mengulangkaji dan melakukan tugasan. 
  • Study week hanya waktu untuk kita mengulangkaji pelajaran.. jangan melakukan perkara yang tidak berkaitan serta tidak berfaedah yang langsung tidak  membantu didalam peningkatan ilmu dan kefahaman. 
  • Rapatlah dengan pensyarah dengan ikhlas untuk bertanya dan berbincang sesuatu masalah atau soalan yang tidak difahami. Berhati-hati, kadang kala pensyarah boleh menilai siapa diri anda.
    Sebagai pesanan akhir.. sekali lagi, rakan-rakan perlu bijak dalam membahagikan masa dengan sebaik mungkin kerana antara faktor kegagalan mahasiswa dan mahasiswi di universiti disebabkan oleh kegagalan didalam mengurus waktu mereka dengan sebaik mungkin. Selain itu, rakan-rakan perlu belajar berdikari kerana tiada siapa lagi yang boleh menjaga dan mengawasi diri adik-adik dan rakan-rakan sepenuhnya sepertimana sewaktu zaman persekolahan. Jangan sesekali mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif seperti membonceng dengan rakan yang bukan muhrim, merokok, bercouple, mendedahkan aurat serta aktiviti-aktiviti sosial yang tidak bersifat ilmiah. Perkara negatif yang dilakukan pasti meninggalkan kesan yang buruk kepada diri rakan-rakan pada masa akan datang. 


    Selamat meneruskan puasa Ramadhan,

    Selamat Hari Raya Aidilfitri,

    Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan, 

    Selamat beramal!!

    Wan Ahmad Fahmi Bin Wan Abdul Hamed
    Biro Kerohanian & Pembangunan Insan
    PMUKM 2010/2011