Pernah Aku terfikir, kenapa masjid dan surau-surau pada hari ini tidak mampu untuk menarik anak-anak muda untuk mengimarahkannya. Kenapa kebanyakkan masjid dan surau lebih banyak 'dikuasai' oleh golongan yang telah berumur? malah yang menjawat jawatan sebagai ajk masjid dan surau juga dari golongan yang sudah berumur. Kebanyakkan masjid atau surau tiada wakil daripada kalangan remaja dalam stuktur organisasi masjid atau surau tersebut, dimanakah anak-anak muda kita yang bakal mewarisi panji-panji Islam?.
Mat Rempit, mat ganjal, kaki judi, kaki botol dan betina, mat rock.. begitu sinonim dengan anak-anak muda sekarang. Jarang sekali kita mendengar seseorang berkata: ".. mamat ni kaki masjid, kaki solat, mat ceramah dll..". Semakin hari kita melihat generasi muda semakin jauh daripada masjid dan surau.
Daripada pagi sampai malam, sarat dengan program untuk golongan vateran dengan pengisian ala 80an . Pengisian kuliah, tahsin al-Quran, tahlil dan bacaan surah Yassin setiap khamis malam jumaat menjadi acara wajib setiap minggu. Program tersebut memang elok dijalankan, tetapi ia hanya mampu untuk menarik minat golongan yang terikat hati mereka dengan masjid atau surau. Bagaimana pula dengan program bagi mengisi waktu anak-anak dengan aktiviti berfaedah dan menarik anak-anak muda yang semakin jauh daripada agama. Ya, memang tidak dinafikan banyak faktor luar yang menjauhkan mereka daripada rumah Allah ini, tetapi adakah masjid dan surau pada hari ini telah berperanan dengan sebaik mungkin sebagai pusat dakwah dan tarbiah?
Memahami perubahan kehendak anak-anak muda yang suka pada aktiviti luar, mencabar dan lasak menjadi satu keperluan bagi seorang daie.Tetapi sayangnya, ungkapan: ".. tidak boleh, program kita hanya fokus dalam masjid sahaja, luar dari masjid tanggungjawab orang lain..". Ungkapan ini sering kita dengar daripada kebanyakkan masyarakat yang tidak memahami tuntutan menyebarkan syiar Islam yang bersifat komprehensif, bukan secara eklusif untuk golongan tertentu sahaja. Bukankah kita selaku daie yang seharusnya mendekati sasaran dakwah (mad’u) dengan pelbagai metod yang kreatif dan sesuai dengan jiwa mereka selagi mana tidak melewati batas syarak. Ya, sudah pasti peranan ini lebih utama dimainkan oleh insitusi masjid atau surau yang lebih hampir dengan masyarakat dan juga menjadi center bagi sesebuah tempat yang majoriti masyakatnya beragama Islam.
Pernah Aku terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan oleh beberapa masjid di sekitar Bandar Baru Bangi sebagai ajk atau fasilitator program yang dianjurkan oleh pihak masjid. Masjid-masjid ini hidup dengan aktiviti yang melibatkan golongan remaja sekolah dan masyarakat luar. Antaranya ialah masjid al-Hasanah. Aktiviti yang dijalankan mampu meraikan semua lapisan golongan masyarakat terutama golongan remaja seperti kem motivasi, forum, footsal, tayangan perdana, smart solat dan aktiviti-aktiviti lain daripada kuliah-kuliah agama pada malam harinya. Malah disana juga ditubuhkan Kelab Remaja Masjid yang mengumpulkan golongan remaja dengan aktiviti berfaedah terutama pada musim cuti sekolah. Syabas! diucapkan kepada Ajk masjid yang begitu memahami kehendak dan kesesuaian aktiviti dengan masyarakat setempat.
Terdapat juga masjid yang begitu banyak sumbangan dan peruntukkan orang ramai dari sudut material dan wang ringgit, tetapi banyak pula dihabiskan untuk pembinaan infrastruktur dan penambahbaikan masjid semata-mata, sedangkan masjid lengang daripada jemaah yang mengimarahkannya ( lihat sahaja keadaan ruang masjid setiap kali masuk watu solat fardhu.. sungguh menyedihkan). Bukankah ini juga merupakan satu pembaziran dan ditegah oleh agama?. Bukankah masjid Nabawi hidup dengan majlis ilmu antara nabi dan para sahabat meskipun atapnya hanya dari pelepah-pelepah tamar dan hanya disemen dengan tanah liat?. Jelaslah bahawa peranan masjid pada zaman Rasulullah s.a.w lebih menekankan kepada pembangunan insan selain menjadi tempat beribadat. Wang yang disumbangkan oleh orang ramai sudah pasti merupakan amanah yang perlu diuruskan dengan sebaik mungkin dan pastinya ia akan dihintung oleh Allah s.w.t di akhirat kelak.
Aktiviti melatih generasi muda seperti menjadi imam dan bilal amat jarang kita perhatikan, akibatnya kita melihat ada pak cik tua yang terpaksa dipapah untuk membaca khutbah sewaktu solat Jumaat, malah hendak membelek teks khutbah pun terketar-ketar jarinya. Demikian pula bilal yang melaungkan azan seolah-olah bunyi seseorang tengah nazak saat dicabut rohnya oleh malaikat maut ( Penulis: maaf sekiranya kata-kata ini agak kasar), sedangkan ramai anak-anak muda yang lunak suara dan bersih jiwanya yang mampu menyentap hati masyarakat untuk hadir ke Masjid. Mereka perlu diberi peluang untuk menunjukkan bakat yang dikurniakan Allah s.w.t sebagai seorang imam, bilal dan menyampaikan tazkirah meskipun bukan pada setiap waktu, sekurang-kurangnya aktiviti tersebut dijalankan.
Demikian pandangan penulis berkenaan peranan masjid atau surau yang perlu dimainkan sebaik mungkin agar syiar Islam terus berkembang dan difahami oleh masyarakat. Peranan institusi masjid dan surau perlu lebih meluas, bukan sekadar tertumpu dengan aktiviti dalam ruang masjid semata-mata dan untuk golongan tertentu sahaja malah perlu diisi dengan aktiviti-aktiviti luar khususnya untuk golongan remaja yang inginkan aktiviti yang lebih bebas dan mencabar. Pendekatan yang sesuai digunakan mampu menarik golongan remaja untuk mengimarahkan masjid serta memahami ajaran Islam. Mereka juga berasa seronok dengan aktiviti yang dijalankan oleh institusi masjid yang mencergaskan jiwa, minda, fizikal serta rohani.
No comments:
Post a Comment